Tuesday, January 10, 2017

Menanti pesawat

A9/KLIA/KUL-TGH

Aku mahu bercerita. Tapi tidak tahu bagaimana mahu menjadikan cerita aku sebagai sebuah cerita yang enak dibaca, memberi teladan, dan memberi tauladan. Yang aku tahu cuma menulis tentang harapan dan impian aku. Supaya bila aku sendiri terbaca blog ini, aku jadi terbangkit sendiri melihat harapan menggunung yang belum habis aku tawan.

Menunggu jam 1755H agak membosankan dan menjemput kantuk. Berapa kali aku menahan dari menguap, mahu terlelap risau pula terlepas penerbangan lagi. Almaklumlah 8januari baru sahaja aku terlepas satu penerbangan. Agak trauma sedikit.

Dua hari aku di kuala lumpur, singgah sebentar sebelum pulang ke kampung halaman di terengganu. Terasa masa pantas pula berputar, tidak puas berbual hingga lewat dengan sahabat yang disayang fillah, siti hajar. Bercerita soal hidup dan masa depan, bergelak hingga penat. Namun, dalam gelak dan senda, aku terperasan bahwa kami sudah dewasa. Bukan lagi gadis belasan tahun yang riang dan ria, usia sudah hampir mencecah 24, suku abad barangkali tidaklah jauh mana.

Berbual soal dewasa, selalu yang aku terlintas adalah persoalan sempat kah aku menakluk dunia sepertimana aku pernah impikan? Agak cliche barangkali. Sempatkah aku membalas jasa ibu dan abah yang aku cinta sebelum aku pergi, atau mereka pergi? Hakikat yang pahit untuk ditelan. Sempatkah aku bernikah dengan seorang mohamad yang aku cinta? Atau takdir sebenarnya sedang membelah waktu dan hari untuk memisahkan kami? Persis pasir di telan, pedih tawar dan sakit. Namun, itulah persoalan sakti yang sering membut aku terdiam dalam kelam malam. Membuat aku tersasul mengalirkan air mata di hamparan sujud.

Melihat insan lain berbahagia, aku jadi tersenyum. Alhamdulillah , aku juga bahagia dengan segala apa yang dipinjamkan Tuhan buat aku. Tuhan sudah terlalu baik untuk buat aku syukuri apa yang ada, alhamdulillahi Allahuakbat❤️

Bila aku senang dengan sesuatu, aku jadi ghairah. Risau masa memotong waktu aku yang semakin sisa. Aku mahu berbakti. Mahu mendaki gunung. Mahu bernikah. Mahu punya anak untuk dididik. Mahu berjalan di seluruh tempat yang indah.

Semoga aku punya kesempatan untuk membahagiakan insan di sekeliling aku. Tuhan sahaja tempat aku bergantung harap.

Sampai di sini sahaja, pengumuman penerbangan sudah bergema membelah sepi ruang menunggu. Terlerai bosan yang tertahan. Semoga aku semakin rajin menulis dan menulis.

Wabillahi❤️

No comments:

Post a Comment